Thursday, August 23, 2007

Kejayaan Malaysia Bukti Negara Berbilang Kaum Boleh Berjaya - PM

PUTRAJAYA, 26 Mei 207 (Bernama) -- Kejayaan Malaysia dalam semua bidang termasuk ekonomi membuktikan negara yang mempunyai rakyat berbilang kaum, bangsa dan agama boleh berjaya jika mereka hidup dalam suasana aman damai, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Perdana Menteri berkata walaupun Malaysia mempunyai kepelbagaian kaum, rakyatnya telah memberikan negara ini satu kemampuan dan kepandaian yang tidak dipunyai oleh negara lain dalam dunia.

"Kita menghargai kaum-kaum, kita menghargai kepelbagaian. Ini memberi kita keupayaan dan kepandaian yang berbeza dari pelbagai kaum yang hidup dalam negara kita. Mereka memberi sumbangan yang berlainan untuk kebaikan dan pembangunan negara," katanya semasa merasmikan program Citrawarna Malaysia 2007 di sini.

Katanya walaupun kerajaan telah menggubal pelbagai strategi untuk menarik pelancong ke negara ini, ianya tidak akan berhasil jika rakyat tidak menyokong strategi yang telah digubal itu.

"Strategi boleh dibentuk tapi kejayaannya bergantung kepada rakyat. Jika rakyat tidak mengambil bahagian dalam apa yang kita hendak, maka sudah tentu kita tidak akan dapat kejayaan yang dikehendaki," katanya.

Abdullah juga berkata rakyat Malaysia perlu menunjukkan budi pekerti yang baik dan sifat suka menolong bukan hanya pada masa-masa tertentu seperti Tahun Melawat Malaysia yang diadakan tahun ini, tetapi juga sepanjang masa untuk kebaikan negara.

"Kita juga perlu menunjukkan yang kita boleh hidup aman damai walaupun dengan bangsa-bangsa yang lain. Dengan ini kita telah dapat membuktikan setakat ini bahawa walaupun negara kita kecil, kita telah mendapat kejayaan yang besar. Kejayaan-kejayaan yang telah kita kecapi adalah hasil sumbangan generasi dahulu dan pemimpin yang lepas," katanya.

Perdana Menteri berkata kejayaan luar jangkaan negara telah mengaibkan banyak negara lain dan ini dapat diteruskan jika negara terus aman dan damai.

Beliau berkata kerajaan akan terus mengubal dasar-dasar yang baik demi pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat.

Katanya jika Malaysia terus membangun dalam suasana aman damai, ianya akan menjadi tarikan pelancong luar dan ini terbukti apabila negara telah memperolehi RM31 bilion daripada industri pelancongan pada 2005 dan RM36.2 bilion tahun lepas.

Abdullah juga melahirkan perasaan gembira melihat sambutan Citrawarna Malaysia 2007 mendapat sambutan yang lebih hangat dari tahun-tahun lepas.

"Inilah kali ke-9 acara ini diadakan dan setiap tahun kita dapat menyaksikan lebih ramai pelancong datang melawat negara kita. Ini membuktikan yang orang luar kagum dengan cara kehidupan kita dari pelbagai kaum, bangsa dan budaya...rakyat kita juga bangga dengan kepelbagaian yang ada dalam negara kita," katanya.

Menteri Pelancongan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dalam ucapan aluannya menyeru rakyat supaya menunjukkan keikhlasan kepada pelancong yang datang melawat negara ini.

"Acara ini sahaja dihadiri oleh lebih 7,000 pelancong dari 43 buah negara. Ia akan ditunjukkan oleh lebih 40 stesyen televisyen di serata dunia. Mereka boleh menyaksikan rakyat pelbagai kaum dan agama boleh hidup bersama dalam negara ini," katanya.

Sumber : BERNAMA

No comments: