Thursday, August 23, 2007

Kejayaan Malaysia Bukti Negara Berbilang Kaum Boleh Berjaya - PM

PUTRAJAYA, 26 Mei 207 (Bernama) -- Kejayaan Malaysia dalam semua bidang termasuk ekonomi membuktikan negara yang mempunyai rakyat berbilang kaum, bangsa dan agama boleh berjaya jika mereka hidup dalam suasana aman damai, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Perdana Menteri berkata walaupun Malaysia mempunyai kepelbagaian kaum, rakyatnya telah memberikan negara ini satu kemampuan dan kepandaian yang tidak dipunyai oleh negara lain dalam dunia.

"Kita menghargai kaum-kaum, kita menghargai kepelbagaian. Ini memberi kita keupayaan dan kepandaian yang berbeza dari pelbagai kaum yang hidup dalam negara kita. Mereka memberi sumbangan yang berlainan untuk kebaikan dan pembangunan negara," katanya semasa merasmikan program Citrawarna Malaysia 2007 di sini.

Katanya walaupun kerajaan telah menggubal pelbagai strategi untuk menarik pelancong ke negara ini, ianya tidak akan berhasil jika rakyat tidak menyokong strategi yang telah digubal itu.

"Strategi boleh dibentuk tapi kejayaannya bergantung kepada rakyat. Jika rakyat tidak mengambil bahagian dalam apa yang kita hendak, maka sudah tentu kita tidak akan dapat kejayaan yang dikehendaki," katanya.

Abdullah juga berkata rakyat Malaysia perlu menunjukkan budi pekerti yang baik dan sifat suka menolong bukan hanya pada masa-masa tertentu seperti Tahun Melawat Malaysia yang diadakan tahun ini, tetapi juga sepanjang masa untuk kebaikan negara.

"Kita juga perlu menunjukkan yang kita boleh hidup aman damai walaupun dengan bangsa-bangsa yang lain. Dengan ini kita telah dapat membuktikan setakat ini bahawa walaupun negara kita kecil, kita telah mendapat kejayaan yang besar. Kejayaan-kejayaan yang telah kita kecapi adalah hasil sumbangan generasi dahulu dan pemimpin yang lepas," katanya.

Perdana Menteri berkata kejayaan luar jangkaan negara telah mengaibkan banyak negara lain dan ini dapat diteruskan jika negara terus aman dan damai.

Beliau berkata kerajaan akan terus mengubal dasar-dasar yang baik demi pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat.

Katanya jika Malaysia terus membangun dalam suasana aman damai, ianya akan menjadi tarikan pelancong luar dan ini terbukti apabila negara telah memperolehi RM31 bilion daripada industri pelancongan pada 2005 dan RM36.2 bilion tahun lepas.

Abdullah juga melahirkan perasaan gembira melihat sambutan Citrawarna Malaysia 2007 mendapat sambutan yang lebih hangat dari tahun-tahun lepas.

"Inilah kali ke-9 acara ini diadakan dan setiap tahun kita dapat menyaksikan lebih ramai pelancong datang melawat negara kita. Ini membuktikan yang orang luar kagum dengan cara kehidupan kita dari pelbagai kaum, bangsa dan budaya...rakyat kita juga bangga dengan kepelbagaian yang ada dalam negara kita," katanya.

Menteri Pelancongan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dalam ucapan aluannya menyeru rakyat supaya menunjukkan keikhlasan kepada pelancong yang datang melawat negara ini.

"Acara ini sahaja dihadiri oleh lebih 7,000 pelancong dari 43 buah negara. Ia akan ditunjukkan oleh lebih 40 stesyen televisyen di serata dunia. Mereka boleh menyaksikan rakyat pelbagai kaum dan agama boleh hidup bersama dalam negara ini," katanya.

Sumber : BERNAMA

>> Malaysia secara amnya...


Ibu kota : Kuala Lumpur
Agama Rasmi : Agama Islam
Bangsa Utama : Orang Melayu, Cina dan India
Nama Bendera Malaysia : Jalur Gemilang
Nama Lagu Kebangsaan : NegaraKu
Bahasa Kebangsaan : Bahasa Melayu
Nama Lagu Kebangsaan : NegaraKu
Bunga Kebangsaan : Bunga raya
Perdana Menteri Pertama : Tunku Abdul Rahman
Tarikh kemerdekaan : 31/08/1957
Pemerintah Tertinggi : DYMM Yang di-Pertuan Agong
Negara Jiran : Singapura, Negara Thai, Indonesia, Filipina, Brunei Darussalam
Tempat Letaknya Malaysia: Asia Tenggara
Sebahagian Perayaan : Hari Raya, Hari Kebangsaan, Tahun Baru Cina, Krismas, Hari Deepavali, Thaipusam, Chap Goh Mei, Perayaan Thaiponggal, Pesta Kaamatan, Pesta Lampu, Maulidur Rasul, Hari Wesak, Good Friday......
Bilangan Negeri : 13 buah negeri
Matawang : RM/Ringgit Malaysia
Kedudukan Garis Lintang : 1 darjah Utara hingga 7 darjah Utara
Kedudukan Garis Bujur : 110 darjah Timur hingga 119 darjah Timur
Purata Suhu : 20 darjah Celcius hingga 32 darjah Celcius
Keluasan Malaysia : 329,757 kilometer persegi
Keluasan Semenanjung Malaysia: 131,598 kilometer persegi
Keluasan Negeri Sabah : 73,710 kilometer persegi
Keluasan Negeri Sarawak : 124,449 kilometer persegi

Monday, August 20, 2007

>> Tahun Melawat Malaysia 2007 (TMM’07)

6 Jan 2007-Tahun Melawat Malaysia 2007 (TMM’07) dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dengan penuh gilang-gemilang disaksikan berpuluh-puluh ribu hadirin termasuk pelancong asing di Taman Tasik Titiwangsa serta jutaan warga dunia menerusi siaran langsung ke 10 negara.



>> Kejayaan yang dikecapi Malaysia....

Penerjunan di Kutub Selatan

Pada 14 Januari 2000, sekumpulan penerjun dari "Misi Kapsul Masa untuk Semua Insan’ telah membuat penerjunan di Patriot Hill, 1,800 km ke utara garisan. Sungguhpun penerjuannya tidak menepati sasaran, namun Malaysia merupakan negara Asia pertama yang terjun menggunakan payun terjun di benua ais tersebut.


Pemindahan lengan ke atas seorang bayi yang pertama di dunia

Pada Mei 2000, pakar bedah Dr V Pathmanathan mengetuai sekumpulan 55 orang dari Hospital Selayang, Selangor dalam menjalankan pembedahan pemindahan lengan ke atas seorang bayi yang pertama di dunia. Chong Lih Ying, yang dilahirkan tanpa lengan, menerima lengan daripada saudara kembarnya Lih Jeng, yang meninggal dunia akibat kerosakan otak semasa dilahirkan. Pembedahan untuk menyambung lengan Lih Jeng kepada tubuh Lih Ying mengambil masa 15 jam.


Malaysia melancarkan mikrosatelit

Pada September 2000, Malaysia melancarkan mikrosatelit rekabentuk sendiri pertama iaitu Tiungsat-1. Mikrosatelit ini dimiliki dan diselenggarakan oleh Astronautic Technology (M) Sdn Bhd, sebuah syarikat milik penuh kerajaan. Kegunaan mikrosatelit bukan-komersial ini meliputi aplikasi untuk agensi-agensi kerajaan, pusat-pusat pengajian tinggi dan sektor swasta. Kegunaan paling lazimnya adalah bagi tujuan pengimejan bumi menggunakan tiga kamera sudut tirus dan sebuah kamera sudut lebar.


Sistem transit rel ringan PUTRA

Sistem transit rel ringan PUTRA yang menghubungkan kawasan-kawasan sub-bandar di sebelah timur dan barat Kuala Lumpur merupakan sebahagian dari sistem pengangkutan moden di bandar raya itu. Sistem yang meliputi laluan sejauh 29km ini adalah sistem kereta api ringan automatik tanpa pemandu terpanjang di dunia pada tahun pertama operasinya, sehingga perkhidmatan kereta api ringan di Lille, France dipanjangkan kepada 32km pada tahun 2000.


Skrol Elektronik pertama di dunia

Universiti Multimedia (MMU) memperkenalkan skrol elektronik pada 26 Februari 2000, dan menjadi universiti pertama di dunia memperkenalkan skrol elektronik. Di dalam skrol ini, graduan akan diberikan sebuah CD-ROM dan kad pintar berasaskan kad mikrocip yang merekodkan segala maklumat graduan. Dokumen digital ini menggunakan teknologi kritografi yang memberikan perlindungan sepenuhnya terhadap maklumat yang terkandung di dalamnya.


Bahasa Melayu kini merupakan kumpulan bahasa keempat terbesar di dunia

Bahasa Melayu kini merupakan kumpulan bahasa keempat terbesar di dunia dan kedua terbesar di Asia, dengan 250 juta orang penutur di Asia Tenggara dan 300 juta penutur di seluruh dunia.


Program Robot Interaktif Pertama Malaysia dikenali sebagai AINI

Program Robot Interaktif Pertama Malaysia dikenali sebagai AINI (Artificial Intelligent Neural-Network Identity). AINI dibangunkan oleh Prof Madya Dr Goh Ong Sing bersama sepasukan penyelidik dari Kolej Universiti Teknikal Kebangsaan Malaysia di Melaka. Robot maya ini boleh bersembang dengan manusia dalam hampir semua topik perbualan. Ia boleh menunjukkan tindakbalas dengan ekspresi muka serta pergerakan tubuh yang bersesuaian dengan perbualan, serta boleh bertutur dalam bahasa Perancis, Itali, Jepun, Korea, malah Bahasa Inggeris dengan loghat Amerika atau British.


Pemain nombor satu dunia.

Kejayaan terbesar menjuarai Terbuka Dunia di Hong Kong meletakkan ratu skuasy wanita sama taraf dengan atlit sukan terbilang negara
IMPIAN besar mahu menakluk dunia suatu hari nanti akhirnya menjadi kenyataan tahun ini. Tiada siapa yang mampu menafikan Nicol Ann David, gadis kelahiran Pulau Pinang untuk bergelar juara dunia sekali gus ditabalkan sebagai pemain nombor satu dunia.

>> Fakta Kemerdekaan

Tarikh 31 Ogos 1957 telah dipilih sebagai tarikh kemerdekaan Negara atas nasihat Sheikh Abdullah Fahim, ulama besar dari Kepala Batas, Pulau Pinang. Perbincangan di antara Datuk Sardon Jubir, Ketua Pemuda UMNO bersama dengan Tuan Haji Ahmad Badawi, Naib Ketua Pemuda telah diadakan dengan Sheikh Abdullah Fahim pada tahun 1956. Menurut beliau, 31 Ogos 1957 dalam Bahasa Arab adalah Am Khir Atana yang bermaksud “Tahun Baik Datang Kepada Kita”.

Tarikh Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957 telah diumumkan oleh Tunku Abdul Rahman di Padang Banda Hilir, Melaka. Pengumuman ini dibuat pada 20 Februari 1956, setibanya rombongan kemerdekaan dari London. Melaka dipilih sebagai tempat pengisytiharan atas syor UMNO Bahagian Kuala Kangsar bagi menebus semula maruah bangsa. Ini kerana, di Melaka bermulanya sejarah kerajaan Melayu yang masyhur dan juga bermulanya penjajahan oleh kuasa asing.

Bahan terbitan bertajuk Communist Banditry in Malaya oleh Jabatan Penerangan ini melaporkan peristiwa darurat yang diisytiharkan di Tanah Melayu pada Jun 1948. Antara kandungannya ialah undang-undang yang dikuatkuasakan, strategi dan corak serangan pengganas komunis, siri keganasan yang dilakukan, langkah kerajaan untuk membendungnya, bilangan yang terkorban, pelaksanaan Rancangan Briggs berkaitan penempatan semula penduduk serta propaganda dan kempen perang saraf yang dijalankan. Terbitan ini juga menyenaraikan kronologi penting dari Jun 1948 – Disember 1950.

Pilihan raya pertama Persekutuan Tanah Melayu diadakan pada 27 Julai 1955. Sebanyak 52 kerusi bagi seluruh Tanah Melayu telah dipertandingkan. Parti UMNO, MCA dan MIC mewakili tiga kaum terbesar di Tanah Melayu bergabung dan bertanding atas nama Parti Perikatan. Parti ini menggunakan moto ‘Menuju Ke Arah Kemerdekaan’ dan telah memenangi 51 kerusi. Baki satu kerusi telah dimenangi oleh PAS di kawasan Kerian, Perak.

>> Hari ini, 50 Tahun lalu

Terimalah Kemerdekaan dengan Tenang – Tunku

Tunku Abdul Rahman Putra, Ketua Menteri, meminta penduduk-penduduk Melaka dari segala bangsa bersatu padu memelihara Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu supaya kekal selama-lamanya. Ucapan dibuat di hadapan 1, 000 penduduk di Wilayah Naning. Tunku meminta rakyat Melaka menerima Kemerdekaan dengan ‘tenang dan tenteram’.

5 Kati perak sepaun emas digunakan untuk pertabalan Yang di-Pertuan Agong

Mengenai upacara Pertabalan Yang di-Pertuan Agong pada 31 Ogos 1957 banyak persediaan sedang dilakukan termasuk alat-alat pertabalan. Alat-alat itu yang dibuat oleh tukang-tukang emas dan tembaga Terengganu termasuk sebatang cokmar, dua buah gada, dua batang tombak, parong yang berteminkan emas 10 dan 20 batang tombak biasa berteminkan perak, 12 bilah keris pendek, 2 bilah keris panjang dan 44 pasang pakaian panglima-panglima yang lengkap. Pada hulu jemalanya diukir bulan dan bintang daripada emas padu sementara kepala dan batangnya ditulis dengan ayat-ayat Quran dari emas juga. Sepaun emas 10 dileburkan untuk membuat tulisan tersebut dan bulan bintang. Semua peralatan ini dibuat oleh tukang-tukang Melayu di Terengganu.

Sejarah ringkas pahlawan-pahlawan Malaya

Salah satu persembahan di Kuala Lumpur sempena Hari Merdeka ialah pameran sejarah “Perajurit-perajurit Melayu” semenjak zaman Hang Tuah yang akan ditunjukkan di Dewan Perniagaan Cina, KL. Tunku Abdul Rahman akan merasmikan pameran itu pada 30 Ogos 1957. Inilah pertama kali pameran sejarah diadakan dalam negeri ini dengan dikelolakan oleh Persatuan Sejarah Malaya dan Pejabat Penerangan. Antara bahan yang akan dipamerkan termasuk senjata-senjata besi Malaya, gambar-gambar bersejarah semenjak tahun 1872.

Lupakanlah kejayaan yang silam, marilah hadapi masa depan dengan tabah

Menteri Besar Johor, Datuk Wan Idris Ibrahim, mengingatkan rakyat “agar jangan mengenangkan kejayaan-kejayaan silam ataupun yang ada sekarang tetapi hendaklah tabah menghadapi masa depan”. Kata beliau “dengan Pengisytiharan Kemerdekaan pada 31 Ogos ini tidak bererti bahawa kita telah mencapai tujuan kita dan bolehlah kita duduk berpeluk tubuh saja. Hari Kemerdekaan menandakan permulaan pada penghidupan kita yang baru sebagai rakyat sebuah Negara Merdeka”.


Ilham lagu Dondang Sayang dari Sumatera ?

Sebuah artikel yang disiarkan mengenai asal lagu Dondang Sayang menyiarkan juga lagu Dondang Sayang Merdeka ciptaan Baba Kim Tek, seorang penyanyi Dondang Sayang Baba Peranakan yang terkenal di Melaka. Seni kata Dondang Sayang Merdeka menarik sekali :

Bunga Raya pekan Melaka,
Betul sempadan sampai limbungan,
Tanah Malaya dapat merdeka,
Seribu syukur kepada Junjungan.

Ya! Ilahi Tuhanku Rabbi,
Rasa segar segenap sendi,
Dapat kita perintah sendiri,
Merak sudah menjadi kedidi.

Hadiah merdeka Singapura kepada Persekutuan

Mengenai sumbangan Negara-negara luar kepada Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu sempena Kemerdekaan, Singapura akan memberi RM 15, 000.00

Sumbangan Cathay Organisation kepada perayaan kemerdekaan

Cathay Organisation akan mengadakan 100 pertunjukan wayang gambar secara percuma di seluruh Negara pada 31 Ogos. Pertunjukan-pertunjukan itu adalah untuk kanak-kanak dan orang tua miskin. Di setiap panggung diadakan tiga pertunjukan pada hari itu dengan filem-filem pelbagai bahasa.

Saturday, August 18, 2007

>> Sejarah Bendera Malaysia...

Sejarah penerimaan Bendera Persekutuan Tanah Melayu ialah melalui perjanjian dengan Majlis Raja-Raja di mana sebuah jawatankuasa telah ditubuhkan dalam tahun 1949 untuk menimbang dan membuat perakuan berhubung dengan rekabentuk Bendera.

Satu pertandingan peringkat kebangsaan telah diadakan bagi memilih Bendera Persekutuan Tanah Melayu yang baru. Pertandingan ini diadakan oleh Majlis Perundangan Persekutuan dalam tahun 1949. Sebanyak 373 karyawan telah mengambil bahagian di mana tiga rekabentuk bendera telah terpilih ke peringkat akhir.

Rekabentuk pertama ialah lambang keris bersilang di tengah-tengah dengan dikelilingi oleh 11 bintang pecah lima.

Rekabentuk kedua hampir serupa dengan rekabentuk pertama tetapi 11 bintang pecah lima itu disusun dalam dua bulatan mengelilingi keris bersilang itu.

Rekabentuk ketiga ialah 11 jalur biru dan putih dengan bulan dan bintang berwarna kuning di bahagian tepi kiri.

Majlis Perundangan Persekutuan menjemput orang ramai memberikan pendapat kepada ketiga-tiga rekabentuk tersebut. Pendapat umum itu telah dikelolakan oleh akhbar The Malay Mail. Keputusan akhir yang disiarkan pada 29 November 1949 menunjukkan majoriti orang telah memilih rekabentuk ketiga. Rekabentuk tersebut adalah ciptaan seorang Arkitek Kerajaan di Johor iaitu En. Mohamad bin Hamzah.

Rekabentuk tersebut telah dibuat beberapa pindaan dan telah diperkenankan Mesyuarat Majlis Raja-Raja pada 22 dan 23 Februari 1950. Pada 19 April 1950, Majlis Perundangan Persekutuan telah meluluskan usul yang dibentangkan oleh Pemangku Ketua Setiausaha Negara seperti berikut:

"That in the opinion of this Council the Flag of the Federation of Malaya should be as follows:- Eleven horizontal stripes alternately red and white in colour, the uppermost stripe being red, having a blue quarter with a cresent and eleven pointed star in yellow superimposed, the standard size of the flag to be six feet by three feet."

Rekabentuk bendera tersebut telah mendapat kelulusan King George VI pada 19 Mei 1950. Pertama kali Bendera Persekutuan Tanah Melayu dikibarkan ialah dalam satu majlis menaikkan bendera tersebut yang dianjurkan oleh Pesuruhjaya Tinggi British pada 26 Mei 1950 di perkarangan Istana Sultan Selangor dengan dihadiri oleh DYMM Raja-Raja Melayu dan Pegawai-pegawai King George VI.



JALUR GEMILANG adalah nama Bendera Malaysia yang telah diisytiharkan oleh Yang Amat Berhormat Dato' Seri Dr. Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia pada malam 31 Ogos 1997 sempena Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-40 di Dataran Merdeka.



>> Rukun Negara...

>> Apa pandangan mereka terhadap PM kita.....

Tunku Abdul Rahman

“ Zaman saya dulu, elaun pemain bola mewakili Negara hanyalah RM 10 sehari dan kami sepasukan menanti sehingga 15 hari sepanjang Pesta Bola Merdeka untuk mengumpul RM 150. Malah jika muncul juara, kami cukup berbesar hati kerana dihadiahkan jam Rolex yang dibelakangnya bertulis penghargaan daripada Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra “.
- Raja Bola Sepak era 50-an hingga 60-an, Datuk Abdul Ghani Minhat -

“ Saya rasa seorang pemimpin seperti Tunku Abdul Rahman akan hanya muncul sekali dalam 2000 tahun “.
- Cik Long Ngah, bekas ADC Tunku Abdul Rahman selama 7 tahun -

“ Tunku Abdul Rahman merupakan seorang tukang masak yang baik dan pernah memasak untuk pemimpin-pemimpin luar Negara ketika menjadi Perdana Menteri “.
- Peter Chua, Pengurus Besar Hotel Royale, Alor Star, Kedah -

“ Semua kaum percaya kepada keikhlasannya “
- Bekas Ketua Polis Negara, Tun Haniff Omar -

Tun Abdul Razak

“ Secara kebetulan, kemiskinan berada di kampong-kampung dan yang miskin adalah orang Melayu. Matlamat Tun Abdul Razak adalah untuk pembangunan nasional yang memerlukannya membetulkan ketidakseimbangan “.
- Thong Yaw Hong, bekas Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi -

“ Hanya sebilangan kecil yang mengetahui bahawa pada tahun-tahun akhir kehidupannya, Tun Abdul Razak memaksa dirinya bekerja keras sekalipun prognosis perubatan tidak lagi memberikan harapan kepada masa depannya Ada kalanya, dalam kesakitan beliau meneruskan kerjanya, perasaan kesetiaan yang mendalam terhadap Negara dan rakyat telah mendorongnya teru bekerja dengan seluruh pengorbanan dan dedikasi
- Tun Lim Chong Eu, bekas Ketua Menteri P.Pinang -

“ Legasi Razak banyak berkisar kepada 3 perkara iaitu kesetiaan, kejujuran dan keikhlasan “
- Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Sri Hishamuddin Tun Hussein -

Tun Hussein Onn

“ Dalam dunia ini, nak cari orang yang pandai, berjuta-juta yang pandai. Nak cari orang kaya, berjuta-juta yang kaya. Nak cari orang yang berpegang kepada amanah, yang honest, kita nak cari, tak banyak. Beliau (Hussein) seorang yang honest “.
- Pendapat Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra mengenai karakter Tun Hussein Onn -

“ Hussein mempunyai pandangan yang jauh. Beliau sering membuat keputusan yang boleh diterima oleh semua pihak “.
- Komen Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai Husein pada bulan Februari 1980 -

“ Hussein selalu dipanggil dengan gelaran “ Mr. Clean “ di Jepun. Beliau sangat popular di sana “.
-Tan Sri Eikichi Hara, bekas Duta Jepun di Malaysia -

Tun Dr Mahathir Mohamad

“ Saya pada mulanya menulis mengutuk Dr Mahathir kerana kata-kata anti-Yahudi beliau. Tetapi selepas membaca dengan teliti, saya menyedari ia hanya sebahagian kecil daripada apa yang beliau katakana “.
- Kolumnis media India, Praful Bidwai menulis dalam akhbar di New Delhi pada 31 Oktober 2003 -

“ Sejak 21 tahun lalu, saya melihat sendiri bagaimana Tun Dr Mahathir berjaya mengubah dan mengangkat martabat Malaysia daripada sebuah Negara kerdil yang tidak dikenali kepada sebuah Negara yang dihormati dan dikagumi malah oleh Negara maju sendiri. Bagi Negara-negara membangun, khususnya dunia islam terutama di rantau arab, Dr Mahathir adalah tokoh yang dianggap sebagai wira dan kepimpinan beliau amat dikagumi “
- Duta Palestin ke Malaysia, Ahmed El-Farra -

“ Jika pun Dr Mahathir berasa tidak puas hati dengan apa-apa perkara sekalipun, Dr Mahathir hanya akan bertanya : “ Macam mana boleh jadi macam ni?” Itu pun dengan nada suara yang cukup tenang “.
- Bekas Pegawai Khas Dr Mahathir, Tan Sri Hashim Makaruddin -

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi

“ Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi adalah seorang Perdana Menteri yang bersikap terbuka. Beliau tidak akan terguris hati kalau kita memberi pandangan yang berbeza atau bertentangan dengan kehendak beliau asalkan apa yang kita sampaikan itu adalah dengan niat baik. Sekiranya pandangan bertentangan yang dikemukakan itu munasabah ataupun ada asas, Abdullah akan menimbangkan pandangan-pandangan itu dan kalau ia lebih bak daripada yang difikirkan oleh beliau terlebih dahulu, maka pandangan itu akan diterima “
- Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak -

“ Saya ingin menyarankan kepada rakyat Malaysia sungguhpun kita mesra dengan Perdana Menteri kita, sungguhpun kita saying, kita kenal dia lama tetapi saya rasa eloklah kita panggil beliau sebagai Datuk Seri Abdullah dan bukan Pak Lah. Kerana beliau Perdana Menteri….seperti juga Tun Dr Mahathir Mohamad, tak pernah sesiapa pun tergamak memanggil beliau sebagai Che Det, sungguhpun itu nama timangannya “.
- Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Rafidah Aziz -

“ Kakitangan awam di seluruh Negara berjanji memberikan sokongan padu kepada Abdullah dengan ikrar untuk terus memberikan perkhidmatan yang terbaik dan cemerlang “.
- Bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Samsudin Osman -

>> 5 Perdana Menteri : 1 Warisan 1 Matlamat

Apa kata Perdana Menteri Kita.....

Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj

“ Jika saya dapat berjumpa dengan Chin Peng, saya akan beritahu kepadanya bahawa pengampunan beramai-ramai ini bukanlah datangnya daripada kerajaan penjajah, tetapi sebenarnya dating daripada kerajaan rakyat, menurut kehendak hati rakyat sendiri. Jika komunis hendak melawan juga, bermakna merekalah hendak bermusuh dengan rakyat “. – Petikan Radio Malay pada 7 Oktober 1955 –

“ Orang Melayu takut hilang haknya, Orang Cina dan Orang India takut mendapat susah apabila negeri ini merdeka. Jadi memang ini satu perasaan yang memang akan ada tiap-tiap kali hendak ada perubahan. Adalah datangnya berbagi-bagai fikiran, berbagai-bagai syak kerana negeri ini dalam fikiran saya apabila selamat, negeri yang aman dan makmur dan saya tidak was-was lagi di atas keadaan negeri ini apabila merdeka “.
- Petikan ucapan mengenai keharmonian antara kaum di Melaka pada 16 Februari 1957 –

“ Kebanyakan rakyat dalam negeri ini nampaknya bukanlah membuat tuntutan atau berkehendakkan sesuatu benda dengan melebihi. Mereka pun sedar ada benda kerajaan boleh buat dan ada benda yang kerajaan tidak boleh buat. Ada benda yang boleh dibuat serta-merta dan ada pula benda yang kena mengambil masa yang lama sedikit “.
- Ucapan pada perhimpunan agung UMNO di Rumah UMNO, KL pada 16 April 1960 -

Tun Abdul Razak

“ Kita di Malaysia sungguh beruntung kerana Negara kita dikurnia Allah dengan kekayaan hasil-hasil bumi serta tanah yang subur untuk pelbagai jenis tanam-tanaman. Rakyat Negara berbilang kaum, yang sebahagian besarnya golongan belia, merupakan kekayaan tenaga manusia yang mana kalau digembleng dalam satu barisan yang bersatu padu membolehkan kita mencapai cita-cita nasional dengan sepenuhnya “.
- Ucapan pada pembukaan Seminar Memperbaiki Semangat, Sikap dan Dedikasi di Institusi Teknologi Mara, PJ pada 10 Januari 1972 -

“ Tidak syak lagi, kerajaan adalah bersikap adil dan jujur demi kepentingan rakyat dan Negara. Hakikat ini tidak dapat dinafikan oleh sesiapapun “.
- Ucapan pada majlis jamuan negeri sempena ulang tahun Ke-10 Kemerdekaan di Sabah pada 23 September 1973 -

“ Kita memandang pendidikan ialah anak kunci kejayaan bangsa dan Negara Malaysia. Pendidikan menurut pengertian yang luas meliputi seluruh lingkungan usaha kita dalam memperbaiki serta meninggikan nilai-nilai hidup. Inilah yang menjadi ukuran tinggi atau rendahnya tamadun bangsa kita yang bakal diwariskan kepada generasi akan dating “.
- Ucapan ketika menutup Expo Pendidikan di Stadium Negara, KL pada 12 Ogos 1972 -

Tun Hussein Onn

“ Semakin banyak kita mencapai kemajuan, harapan rakyat untuk mencapai taraf kemajuan akan meningkat lebih tinggi lagi. Oleh yang demikian desakan ke atas kerajaan akan bertambah. Untuk memenuhi tuntutan-tuntutan rakyat itu adalah perlu bagi perkhidmatan awam ada sense of urgency “.
- Ucapan pada majlis jamuan tahunan Persatuan Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik di Hotel Hilton, KL pada 9 Jun 1979 -

“ Malaysia tidak akan menggunakan kekuatan ekonominya pada jalan yang sempit dan tidak waras. Kita akan sentiasa menggunakan hasil sumber alam yang ada pada kita dengan cara yang penuh tanggungjawab untuk faedah dan kebajikan rakyat jelata serta kepentingan Negara “.
-Ucapan pada upacara Penutup Muktamar Dakwah Islamiah bagi Asia Tenggara dan Rantau Pasifik di Dewan Tunku Abdul Rahman, KL pada 14 Januari 1980 -

“ Saya bukanlah orang yang penting dalam Negara, tetapi yang penting adalah apa yang aya buat untuk Negara “.
- Petikan daripada sebuah buku biografinya selepas bersara. Tun Hussein berkata, beliau tidak dibayangi oleh sesiapa dalam mentadbir Negara dan beliau memimpin kerajaan mengikut caranya yang tersendiri -

“ Pemuda Harapan Bangsa mestilah sesuatu yang bermaksud bahawa gerak langkah pemuda-pemuda sekarang bukanlah gula-gula, bukanlah perhiasan, tetapi adalah gerak sebenar-sebenarnya untuk menuju ke hadapan. Malangnya pergerakan ini kekurangan ketua-ketuanya “.
- Ucapan sebagai Ketua Pemuda UMNO ketika bangsanya sedang berdepan dengan perjuangan besar –

Tun Dr Mahathir Mohamad

“ KUALITI ialah suatu keadaan yang cemerlang atau amat baik tetapi kebaikan itu tidak terhad atau tetap pada sesuatu tahap. Ia tidak statik Ia bergerak sepanjang masa. Justeru, apabila sahaja kita mencapai kualiti yang kita kejar, kita mendapati ada lagi kualiti yang lebih tinggi yang mesti kita kejar “.
- Ucapan pada pelancaran Gerakan Budaya Kerja Cemerlang di KL pada 27 November 1989 -

“ Mereka yang ingin kaya cepat akan jatuh dengan teruknya. Apa yang berlaku kepada orang lain kerana amalan yang tidak baik akan berlaku juga kepada diri sendiri jika amalan yang serupa diamalkan “.
- Ucapan pada Kongres Ekonomi Bumiputera Ketiga di KL pada 10 Januari 1982 –

“ Tolak dan tumbangkan mereka sebelum mereka menumbangkan parti kita yang tercinta ini “.
- Ucapan dasar pada Perhimpunan Agong UMNO pada 10 Oktober 1996 -

“ Siapa sangka empayar ROM yang begitu kuat boleh hancur. Kehancurannya kerana pada masa kemuncaknya berlaku perpecahan demi perpecahan. Kita tidak mahu kisah kejatuhan empayar-empayar besar dunia terjadi kepada Malaysia. Biarlah kemajuan dan kemakmuran Negara ini tidak hanya bertahan 43 tahun tetapi berkekalan untuk selama-lamanya “.
- Ucapan ketika menyampaikan amanat kepada kira-kira 600 ketua agensi kerajaan pada Majlis Perdana Perkhidmatan Awam Kedua (MAPPA 11) di Auditorium Intan, Bukit Kiara, KL pada 12 Januari 2001 -

“ Menerusi sejarah kita tahu di mana kita datang kerana kita tahu dahulu kita pernah hina dan miskin “.
- Ucapan pada perasmian Menara UMNO Pulau Pinang pada 11 Ogos 1998 -

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi

“ Sebenarnya dasar-dasar yang telah dilaksanakan itu adalah dasar tuan-tuan, dasar saya dan digubal oleh Tun Dr Mahathir yang dilaksanakan dengan begitu berjaya. Inilah harapan saya, saya tidak minta tuan-tuan bekerja untuk saya tetapi mahu tuan-tuan bekerja bersama-sama saya kerana bangsa dan Negara “.
- Petikan ucapan sulung sebagai Perdana Menteri Ke-5 di Bayan Lepas, Pulau Pinang pada 1 November 2003 -

“ Kejayaan masa hadapan bergantung kepada mutu modal insan yang dimiliki, bukan sahaja dari segi intelek tetapi juga keperibadian “.
- Ucapan semasa membentangkan usul mengenai RMK-9 2006 – 2010 di Dewan Rakyat pada 31 Mac 2006 -

“ Jika mereka (wakil rakyat) gagal menjalankan tugas mereka, maka gagallah system demokrasi berparlimen “.
- Ucapan pada majli berbuka puasa bersama ahli-ahli Parlimen di bangunan Parlimen, KL pada 3 November 2003 -

“ Saya fakir kita mesti, sebagai contoh, membawa keluar politik dari masjid, jangan bawa politik ke dalam masjid
- Ucapan selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet pertamanya sebagai Perdana Menteri di Putrajaya -

Wednesday, August 15, 2007

>> Perdana Menteri Malaysia



Perdana Menteri Pertama : Tunku Abdul Rahman ( 1957 - 1970 )

Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Shah (8 Februari 1903 - 6 Disember 1990) merupakan Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu dari 1955, dan Perdana Menteri pertama sejak kemerdekaan pada tahun 1957 sehingga 1970. Pembentukan Malaysia pada tahun 1963 merupakan salah satu daripada pencapaiannya yang teragung. Biasanya dikenali sebagai "Tunku", beliau juga dikenang sebagai "Bapa Kemerdekaan" dan "Bapa Malaysia".



Perdana Menteri Kedua : Tun Abdul Razak ( 1970 - 1976 )

Allahyaraham Tun Abdul Razak bin Haji Dato' Hussein (11 Mac 1922 - 14 Januari 1976) merupakan Perdana Menteri Malaysia kedua yang berkhidmat dari tahun 1970 sehingga 1976. Beliau termasyhur dalam pelancaran Dasar Ekonomi Baru (1971) (NEP) yang bertujuan untuk mengatasi masalah ketidaksamaan ekonomi dan sosial yang telah membangkitkan antagonisme perkauman di kalangan masyarakat Malaysia yang pelbagai kaum. Selepas kematiannya, beliau telah dikenang sebagai "Bapa Pembangunan".



Perdana Menteri Ketiga : Tun Hussein bin Dato' Onn ( 1976 - 1981 )

Allahyaraham Tun Hussein bin Dato' Onn (12 Februari 1922 - 29 Mei 1990) merupakan Perdana Menteri Malaysia ketiga yang berkhidmat dari tahun 1976 sehingga 1981. Beliau diperlihatkan sebagai seorang yang amat ikhlas dalam perjuangan untuk mencapai perpaduan kaum dan mempunyai reputasi untuk bertindak keras kepada sesiapa yang mencuba membangkitkan kekacauan perkauman di dalam negara. Oleh sebab usahanya dalam pemupukan perpaduan di kalangan masyarakat Malaysia, Tun Hussein Onn telah dikenang sebagai "Bapa Perpaduan".



Perdana Menteri Keempat : Tun Dr Mahathir bin Mohamad ( 1981 - 2003 )

Tun Dr Mahathir bin Mohamad (Jawi: محضير بن محمد, dilahirkan pada 20 Disember 1925; juga digelarkan sebagai "Dr. M") adalah Perdana Menteri Malaysia yang ke-empat. Ketika penggal kepimpinannya dari 16 Julai, 1981 sehingga 31 Oktober, 2003, beliau menjuruterakan modenasisi yang pantas sekali dan menyebabkan kemakmuran di segala lapisan masyarakat Malaysia.

Pencapaian terutamanya ialah keupayaannya mengekalkan keamanan dan kedamaian dalam sebuah negara yang berbilang bangsa melalui pemeliharaan suatu golongan pertengahan orang Melayu. Walaubagaimana-pun, beliau sentiasa dikritikkan atas gaya pemerintahannya yang autokratik dan yang bersifat kronisma.

Dr Mahathir merupakan seorang tokoh politik antarabangsa yang terus terang dan yang bersifat kontroversi. Beliau adalah seorang penganjur gagah nilai-nilai Asia — kapitalisma autokratik yang dianjurkan oleh negeri — sebagai alternatif kepada individualisma Amerika Syarikat dan kapitalisma dasar tidak campur tangan (laissez-faire).

Selepas persaraannya, nama Dr Mahathir terus terpahat sebagai "Bapa Pemodenan Malaysia", negarawan ulung yang telah menjadikan Malaysia sebuah negara moden, makmur, ceria dan penuh bertenaga. Pada Jun 2005, beliau dianugerahkan sebagai Tun, pangkat kehormatan yang tertinggi di Malaysia. Dengan perkhidmatan sebagai Perdana Menteri selama 22 tahun, beliau merupakan pemimpin yang paling lama memegang jawatan di Asia Tenggara.



Perdana Menteri Sekarang : Dato' Seri Abdullah bin Haji Ahmad Badawi ( 2003 - sekarang )


Yang Amat Berhormat Dato' Seri Abdullah bin Haji Ahmad Badawi (lahir: 26 November 1939; juga dikenali sebagai Pak Lah) merupakan Perdana Menteri Malaysia ke-5, mewarisi Tun Dr. Mahathir bin Mohamad. Beliau juga merupakan Presiden UMNO, parti politik yang paling besar dalam Malaysia. Sebelum menjadi Perdana Menteri, beliau dilantik pada beberapa jawatan tinggi dalam kerajaan Malaysia. Namun, beliau dipecat sebagai Menteri kerana menyokong 'Team B' dalam Majlis Agung UMNO pada tahun 1987. Beliau tidak menjadi anggota kabinet lagi sehingga 1991. Anwar Ibrahim, yang pada masa itu Timbalan Perdana Menteri, dipecat oleh Tun Dr. Mahathir pada tahun 1998. Pada tahun 1999 Abdullah dilantik sebagai Timbalan kepada Tun Dr. Mahathir, dan pada tahun 2003, Abdullah akhirnya mewarisi jawatan Tun Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri Malaysia dan Presiden UMNO.

Tuesday, August 14, 2007

>> Bahasa Kebangsaan Malaysia

DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah mengisytiharkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Rasmi Negara yang tunggal bagi Persekutuan Malaysia. Perisytiharan ini adalah ekoran daripada tindakan Parlimen yang telah meluluskan Rang Undang-Undang Bahasa Kebangsaan dalam sidangnya yang berlangsung pada bulan Mac 1967.

>> Pengisytiharan Penubuhan Malaysia

Pada hari ini dalam tahun 1963 seiring dengan dentuman 101 das tembakan meriam dan teriakan "MERDEKA", Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman telah mengisytiharkan kelahiran sebuah negara baru kepada seluruh dunia iaitu Malaysia. Stadium Merdeka yang dibanjiri oleh 30,000 rakyat Malaysia telah bergema kembali dengan laungan semangat rakyat seperti 6 tahun yang Ialu dalam tahun 1957 ketika Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaannya. Upacara membaca Deklarasi Penubuhan Malaysia itu telah dilakukan di hadapan DYMM Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong, Raja-raja Melayu, Gabenor-gabenor Pulau Pinang, Melaka, Singapura, Sarawak dan Sabah. Turut serta dalam upacara itu ialah tiga orang pemimpin dari tiga buah negara yang baharu di dalam Persekutuan Malaysia laitu Lee Kuan Yew, Donald Stephens dan Stephen Kalong Ningkan. Upacara ini telah dihadiri juga oleh Kabinet, anggota-anggota diplomat asing di Kuala Lumpur serta wakil-wakil dari Kerajaan-Kerajaan yang telah dijemput khas.

>> Bunga Kebangsaan Malaysia


Bunga Raya telah diisytiharkan sebagai Bunga Kebangsaan Persekutuan Tanah Melayu. Di akhir pada tahun 1958 Kementerian Pertanian telah mengemukakan tujuh jenis bunga untuk pemilihan iaitu; bunga kenanga, bunga raya, bunga melur, bunga teratai, bunga mawar, bunga cempaka dan bunga tanjung.

>> Pemilihan Lagu Kebangsaan Persekutuan Tanah Melayu


Lagu Terang Bulan, lagu kebangsaan negeri Perak telah dipilih menjadi lagu kebangsaan Persekutuan Tanah Melayu. Pemilihan ini dibuat oleh jemaah hakim yang diketuai oleh YTM Tunku Abdul Rahman Putra.Upacara pemilihan lagu kebangsaan ini berlangsung di Dewan Polis Depoh, Kuala Lumpur. Sebanyak 4 buah lagu telah diperdengarkan oleh Pasukan Pancaragam Polis Diraja. Walau bagaimanapun lagu Terang Bulan telah terpilih kerana ia mempunyai unsur kemelayuan.Keputusan jemaah hakim ini kemudian telah dikemukakan kepada Majlis Raja-raja Melayu. Setelah dipersetujui, kerajaan telah mengeluarkan tawaran RM1 000 kepada pengubah untuk mencipta seni katanya. Tawaran ini telah dimenangi oleh Encik Saiful Bahri dan lagu kebangsaan 'NegaraKu' gubahan beliau terdapat dalam 3 versi.

>> Tanggal 31 Ogos 1957...

Tanah Melayu telah menerima pengisytiharan kemerdekaannya tepat pada detik pertama pukul 12.00 tengah malam di Padang Kelab Selangor, Kuala Lumpur, bagi menandakan lahirnya sebuah negara baru yang berdaulat, setaraf dan setimpal dengan semua negara-negara yang berdaulat di dunia. Laungan "MERDEKA" telah dilaksanakan oleh Tunku Abdul Rahman,Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu yang pertama keesokan harinya tepat 9.30 pagi di hadapan 20 ribu rakyat Persekutuan Tanah Melayu dan Raja-rajanya serta perwakilan dari 30 negara-negara Komanwel dan negara-negara asing lainnya, di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.

Perdana Menteri Malaysia pertama dari 31 Ogos 1957 hingga 21 September 1970. Laungan Merdeka! Merdeka! Merdeka! oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj bergema di seluruh pelusuk Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957. Negara tidak dijajah lagi. Bermulalah demokrasi berparlimen di mana Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Rahman dilantik sebagai Agong yang pertama. Gabungan parti politik yang mewakili tiga bangsa majoriti negara; Melayu, Cina dan India di bawah Parti Perikatan berjaya membawa perubahan dan menjadi asas perpaduan hingga ke hari ini. 16 September 1963, Malaysia ditubuhkan dan perancangan pembangunan negara bermula demi kesejahteraan rakyat.