Thursday, August 23, 2007

Kejayaan Malaysia Bukti Negara Berbilang Kaum Boleh Berjaya - PM

PUTRAJAYA, 26 Mei 207 (Bernama) -- Kejayaan Malaysia dalam semua bidang termasuk ekonomi membuktikan negara yang mempunyai rakyat berbilang kaum, bangsa dan agama boleh berjaya jika mereka hidup dalam suasana aman damai, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Perdana Menteri berkata walaupun Malaysia mempunyai kepelbagaian kaum, rakyatnya telah memberikan negara ini satu kemampuan dan kepandaian yang tidak dipunyai oleh negara lain dalam dunia.

"Kita menghargai kaum-kaum, kita menghargai kepelbagaian. Ini memberi kita keupayaan dan kepandaian yang berbeza dari pelbagai kaum yang hidup dalam negara kita. Mereka memberi sumbangan yang berlainan untuk kebaikan dan pembangunan negara," katanya semasa merasmikan program Citrawarna Malaysia 2007 di sini.

Katanya walaupun kerajaan telah menggubal pelbagai strategi untuk menarik pelancong ke negara ini, ianya tidak akan berhasil jika rakyat tidak menyokong strategi yang telah digubal itu.

"Strategi boleh dibentuk tapi kejayaannya bergantung kepada rakyat. Jika rakyat tidak mengambil bahagian dalam apa yang kita hendak, maka sudah tentu kita tidak akan dapat kejayaan yang dikehendaki," katanya.

Abdullah juga berkata rakyat Malaysia perlu menunjukkan budi pekerti yang baik dan sifat suka menolong bukan hanya pada masa-masa tertentu seperti Tahun Melawat Malaysia yang diadakan tahun ini, tetapi juga sepanjang masa untuk kebaikan negara.

"Kita juga perlu menunjukkan yang kita boleh hidup aman damai walaupun dengan bangsa-bangsa yang lain. Dengan ini kita telah dapat membuktikan setakat ini bahawa walaupun negara kita kecil, kita telah mendapat kejayaan yang besar. Kejayaan-kejayaan yang telah kita kecapi adalah hasil sumbangan generasi dahulu dan pemimpin yang lepas," katanya.

Perdana Menteri berkata kejayaan luar jangkaan negara telah mengaibkan banyak negara lain dan ini dapat diteruskan jika negara terus aman dan damai.

Beliau berkata kerajaan akan terus mengubal dasar-dasar yang baik demi pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat.

Katanya jika Malaysia terus membangun dalam suasana aman damai, ianya akan menjadi tarikan pelancong luar dan ini terbukti apabila negara telah memperolehi RM31 bilion daripada industri pelancongan pada 2005 dan RM36.2 bilion tahun lepas.

Abdullah juga melahirkan perasaan gembira melihat sambutan Citrawarna Malaysia 2007 mendapat sambutan yang lebih hangat dari tahun-tahun lepas.

"Inilah kali ke-9 acara ini diadakan dan setiap tahun kita dapat menyaksikan lebih ramai pelancong datang melawat negara kita. Ini membuktikan yang orang luar kagum dengan cara kehidupan kita dari pelbagai kaum, bangsa dan budaya...rakyat kita juga bangga dengan kepelbagaian yang ada dalam negara kita," katanya.

Menteri Pelancongan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dalam ucapan aluannya menyeru rakyat supaya menunjukkan keikhlasan kepada pelancong yang datang melawat negara ini.

"Acara ini sahaja dihadiri oleh lebih 7,000 pelancong dari 43 buah negara. Ia akan ditunjukkan oleh lebih 40 stesyen televisyen di serata dunia. Mereka boleh menyaksikan rakyat pelbagai kaum dan agama boleh hidup bersama dalam negara ini," katanya.

Sumber : BERNAMA

>> Malaysia secara amnya...


Ibu kota : Kuala Lumpur
Agama Rasmi : Agama Islam
Bangsa Utama : Orang Melayu, Cina dan India
Nama Bendera Malaysia : Jalur Gemilang
Nama Lagu Kebangsaan : NegaraKu
Bahasa Kebangsaan : Bahasa Melayu
Nama Lagu Kebangsaan : NegaraKu
Bunga Kebangsaan : Bunga raya
Perdana Menteri Pertama : Tunku Abdul Rahman
Tarikh kemerdekaan : 31/08/1957
Pemerintah Tertinggi : DYMM Yang di-Pertuan Agong
Negara Jiran : Singapura, Negara Thai, Indonesia, Filipina, Brunei Darussalam
Tempat Letaknya Malaysia: Asia Tenggara
Sebahagian Perayaan : Hari Raya, Hari Kebangsaan, Tahun Baru Cina, Krismas, Hari Deepavali, Thaipusam, Chap Goh Mei, Perayaan Thaiponggal, Pesta Kaamatan, Pesta Lampu, Maulidur Rasul, Hari Wesak, Good Friday......
Bilangan Negeri : 13 buah negeri
Matawang : RM/Ringgit Malaysia
Kedudukan Garis Lintang : 1 darjah Utara hingga 7 darjah Utara
Kedudukan Garis Bujur : 110 darjah Timur hingga 119 darjah Timur
Purata Suhu : 20 darjah Celcius hingga 32 darjah Celcius
Keluasan Malaysia : 329,757 kilometer persegi
Keluasan Semenanjung Malaysia: 131,598 kilometer persegi
Keluasan Negeri Sabah : 73,710 kilometer persegi
Keluasan Negeri Sarawak : 124,449 kilometer persegi

Monday, August 20, 2007

>> Tahun Melawat Malaysia 2007 (TMM’07)

6 Jan 2007-Tahun Melawat Malaysia 2007 (TMM’07) dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dengan penuh gilang-gemilang disaksikan berpuluh-puluh ribu hadirin termasuk pelancong asing di Taman Tasik Titiwangsa serta jutaan warga dunia menerusi siaran langsung ke 10 negara.



>> Kejayaan yang dikecapi Malaysia....

Penerjunan di Kutub Selatan

Pada 14 Januari 2000, sekumpulan penerjun dari "Misi Kapsul Masa untuk Semua Insan’ telah membuat penerjunan di Patriot Hill, 1,800 km ke utara garisan. Sungguhpun penerjuannya tidak menepati sasaran, namun Malaysia merupakan negara Asia pertama yang terjun menggunakan payun terjun di benua ais tersebut.


Pemindahan lengan ke atas seorang bayi yang pertama di dunia

Pada Mei 2000, pakar bedah Dr V Pathmanathan mengetuai sekumpulan 55 orang dari Hospital Selayang, Selangor dalam menjalankan pembedahan pemindahan lengan ke atas seorang bayi yang pertama di dunia. Chong Lih Ying, yang dilahirkan tanpa lengan, menerima lengan daripada saudara kembarnya Lih Jeng, yang meninggal dunia akibat kerosakan otak semasa dilahirkan. Pembedahan untuk menyambung lengan Lih Jeng kepada tubuh Lih Ying mengambil masa 15 jam.


Malaysia melancarkan mikrosatelit

Pada September 2000, Malaysia melancarkan mikrosatelit rekabentuk sendiri pertama iaitu Tiungsat-1. Mikrosatelit ini dimiliki dan diselenggarakan oleh Astronautic Technology (M) Sdn Bhd, sebuah syarikat milik penuh kerajaan. Kegunaan mikrosatelit bukan-komersial ini meliputi aplikasi untuk agensi-agensi kerajaan, pusat-pusat pengajian tinggi dan sektor swasta. Kegunaan paling lazimnya adalah bagi tujuan pengimejan bumi menggunakan tiga kamera sudut tirus dan sebuah kamera sudut lebar.


Sistem transit rel ringan PUTRA

Sistem transit rel ringan PUTRA yang menghubungkan kawasan-kawasan sub-bandar di sebelah timur dan barat Kuala Lumpur merupakan sebahagian dari sistem pengangkutan moden di bandar raya itu. Sistem yang meliputi laluan sejauh 29km ini adalah sistem kereta api ringan automatik tanpa pemandu terpanjang di dunia pada tahun pertama operasinya, sehingga perkhidmatan kereta api ringan di Lille, France dipanjangkan kepada 32km pada tahun 2000.


Skrol Elektronik pertama di dunia

Universiti Multimedia (MMU) memperkenalkan skrol elektronik pada 26 Februari 2000, dan menjadi universiti pertama di dunia memperkenalkan skrol elektronik. Di dalam skrol ini, graduan akan diberikan sebuah CD-ROM dan kad pintar berasaskan kad mikrocip yang merekodkan segala maklumat graduan. Dokumen digital ini menggunakan teknologi kritografi yang memberikan perlindungan sepenuhnya terhadap maklumat yang terkandung di dalamnya.


Bahasa Melayu kini merupakan kumpulan bahasa keempat terbesar di dunia

Bahasa Melayu kini merupakan kumpulan bahasa keempat terbesar di dunia dan kedua terbesar di Asia, dengan 250 juta orang penutur di Asia Tenggara dan 300 juta penutur di seluruh dunia.


Program Robot Interaktif Pertama Malaysia dikenali sebagai AINI

Program Robot Interaktif Pertama Malaysia dikenali sebagai AINI (Artificial Intelligent Neural-Network Identity). AINI dibangunkan oleh Prof Madya Dr Goh Ong Sing bersama sepasukan penyelidik dari Kolej Universiti Teknikal Kebangsaan Malaysia di Melaka. Robot maya ini boleh bersembang dengan manusia dalam hampir semua topik perbualan. Ia boleh menunjukkan tindakbalas dengan ekspresi muka serta pergerakan tubuh yang bersesuaian dengan perbualan, serta boleh bertutur dalam bahasa Perancis, Itali, Jepun, Korea, malah Bahasa Inggeris dengan loghat Amerika atau British.


Pemain nombor satu dunia.

Kejayaan terbesar menjuarai Terbuka Dunia di Hong Kong meletakkan ratu skuasy wanita sama taraf dengan atlit sukan terbilang negara
IMPIAN besar mahu menakluk dunia suatu hari nanti akhirnya menjadi kenyataan tahun ini. Tiada siapa yang mampu menafikan Nicol Ann David, gadis kelahiran Pulau Pinang untuk bergelar juara dunia sekali gus ditabalkan sebagai pemain nombor satu dunia.

>> Fakta Kemerdekaan

Tarikh 31 Ogos 1957 telah dipilih sebagai tarikh kemerdekaan Negara atas nasihat Sheikh Abdullah Fahim, ulama besar dari Kepala Batas, Pulau Pinang. Perbincangan di antara Datuk Sardon Jubir, Ketua Pemuda UMNO bersama dengan Tuan Haji Ahmad Badawi, Naib Ketua Pemuda telah diadakan dengan Sheikh Abdullah Fahim pada tahun 1956. Menurut beliau, 31 Ogos 1957 dalam Bahasa Arab adalah Am Khir Atana yang bermaksud “Tahun Baik Datang Kepada Kita”.

Tarikh Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957 telah diumumkan oleh Tunku Abdul Rahman di Padang Banda Hilir, Melaka. Pengumuman ini dibuat pada 20 Februari 1956, setibanya rombongan kemerdekaan dari London. Melaka dipilih sebagai tempat pengisytiharan atas syor UMNO Bahagian Kuala Kangsar bagi menebus semula maruah bangsa. Ini kerana, di Melaka bermulanya sejarah kerajaan Melayu yang masyhur dan juga bermulanya penjajahan oleh kuasa asing.

Bahan terbitan bertajuk Communist Banditry in Malaya oleh Jabatan Penerangan ini melaporkan peristiwa darurat yang diisytiharkan di Tanah Melayu pada Jun 1948. Antara kandungannya ialah undang-undang yang dikuatkuasakan, strategi dan corak serangan pengganas komunis, siri keganasan yang dilakukan, langkah kerajaan untuk membendungnya, bilangan yang terkorban, pelaksanaan Rancangan Briggs berkaitan penempatan semula penduduk serta propaganda dan kempen perang saraf yang dijalankan. Terbitan ini juga menyenaraikan kronologi penting dari Jun 1948 – Disember 1950.

Pilihan raya pertama Persekutuan Tanah Melayu diadakan pada 27 Julai 1955. Sebanyak 52 kerusi bagi seluruh Tanah Melayu telah dipertandingkan. Parti UMNO, MCA dan MIC mewakili tiga kaum terbesar di Tanah Melayu bergabung dan bertanding atas nama Parti Perikatan. Parti ini menggunakan moto ‘Menuju Ke Arah Kemerdekaan’ dan telah memenangi 51 kerusi. Baki satu kerusi telah dimenangi oleh PAS di kawasan Kerian, Perak.