Monday, August 20, 2007

>> Hari ini, 50 Tahun lalu

Terimalah Kemerdekaan dengan Tenang – Tunku

Tunku Abdul Rahman Putra, Ketua Menteri, meminta penduduk-penduduk Melaka dari segala bangsa bersatu padu memelihara Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu supaya kekal selama-lamanya. Ucapan dibuat di hadapan 1, 000 penduduk di Wilayah Naning. Tunku meminta rakyat Melaka menerima Kemerdekaan dengan ‘tenang dan tenteram’.

5 Kati perak sepaun emas digunakan untuk pertabalan Yang di-Pertuan Agong

Mengenai upacara Pertabalan Yang di-Pertuan Agong pada 31 Ogos 1957 banyak persediaan sedang dilakukan termasuk alat-alat pertabalan. Alat-alat itu yang dibuat oleh tukang-tukang emas dan tembaga Terengganu termasuk sebatang cokmar, dua buah gada, dua batang tombak, parong yang berteminkan emas 10 dan 20 batang tombak biasa berteminkan perak, 12 bilah keris pendek, 2 bilah keris panjang dan 44 pasang pakaian panglima-panglima yang lengkap. Pada hulu jemalanya diukir bulan dan bintang daripada emas padu sementara kepala dan batangnya ditulis dengan ayat-ayat Quran dari emas juga. Sepaun emas 10 dileburkan untuk membuat tulisan tersebut dan bulan bintang. Semua peralatan ini dibuat oleh tukang-tukang Melayu di Terengganu.

Sejarah ringkas pahlawan-pahlawan Malaya

Salah satu persembahan di Kuala Lumpur sempena Hari Merdeka ialah pameran sejarah “Perajurit-perajurit Melayu” semenjak zaman Hang Tuah yang akan ditunjukkan di Dewan Perniagaan Cina, KL. Tunku Abdul Rahman akan merasmikan pameran itu pada 30 Ogos 1957. Inilah pertama kali pameran sejarah diadakan dalam negeri ini dengan dikelolakan oleh Persatuan Sejarah Malaya dan Pejabat Penerangan. Antara bahan yang akan dipamerkan termasuk senjata-senjata besi Malaya, gambar-gambar bersejarah semenjak tahun 1872.

Lupakanlah kejayaan yang silam, marilah hadapi masa depan dengan tabah

Menteri Besar Johor, Datuk Wan Idris Ibrahim, mengingatkan rakyat “agar jangan mengenangkan kejayaan-kejayaan silam ataupun yang ada sekarang tetapi hendaklah tabah menghadapi masa depan”. Kata beliau “dengan Pengisytiharan Kemerdekaan pada 31 Ogos ini tidak bererti bahawa kita telah mencapai tujuan kita dan bolehlah kita duduk berpeluk tubuh saja. Hari Kemerdekaan menandakan permulaan pada penghidupan kita yang baru sebagai rakyat sebuah Negara Merdeka”.


Ilham lagu Dondang Sayang dari Sumatera ?

Sebuah artikel yang disiarkan mengenai asal lagu Dondang Sayang menyiarkan juga lagu Dondang Sayang Merdeka ciptaan Baba Kim Tek, seorang penyanyi Dondang Sayang Baba Peranakan yang terkenal di Melaka. Seni kata Dondang Sayang Merdeka menarik sekali :

Bunga Raya pekan Melaka,
Betul sempadan sampai limbungan,
Tanah Malaya dapat merdeka,
Seribu syukur kepada Junjungan.

Ya! Ilahi Tuhanku Rabbi,
Rasa segar segenap sendi,
Dapat kita perintah sendiri,
Merak sudah menjadi kedidi.

Hadiah merdeka Singapura kepada Persekutuan

Mengenai sumbangan Negara-negara luar kepada Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu sempena Kemerdekaan, Singapura akan memberi RM 15, 000.00

Sumbangan Cathay Organisation kepada perayaan kemerdekaan

Cathay Organisation akan mengadakan 100 pertunjukan wayang gambar secara percuma di seluruh Negara pada 31 Ogos. Pertunjukan-pertunjukan itu adalah untuk kanak-kanak dan orang tua miskin. Di setiap panggung diadakan tiga pertunjukan pada hari itu dengan filem-filem pelbagai bahasa.

No comments: