Monday, August 20, 2007

>> Fakta Kemerdekaan

Tarikh 31 Ogos 1957 telah dipilih sebagai tarikh kemerdekaan Negara atas nasihat Sheikh Abdullah Fahim, ulama besar dari Kepala Batas, Pulau Pinang. Perbincangan di antara Datuk Sardon Jubir, Ketua Pemuda UMNO bersama dengan Tuan Haji Ahmad Badawi, Naib Ketua Pemuda telah diadakan dengan Sheikh Abdullah Fahim pada tahun 1956. Menurut beliau, 31 Ogos 1957 dalam Bahasa Arab adalah Am Khir Atana yang bermaksud “Tahun Baik Datang Kepada Kita”.

Tarikh Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957 telah diumumkan oleh Tunku Abdul Rahman di Padang Banda Hilir, Melaka. Pengumuman ini dibuat pada 20 Februari 1956, setibanya rombongan kemerdekaan dari London. Melaka dipilih sebagai tempat pengisytiharan atas syor UMNO Bahagian Kuala Kangsar bagi menebus semula maruah bangsa. Ini kerana, di Melaka bermulanya sejarah kerajaan Melayu yang masyhur dan juga bermulanya penjajahan oleh kuasa asing.

Bahan terbitan bertajuk Communist Banditry in Malaya oleh Jabatan Penerangan ini melaporkan peristiwa darurat yang diisytiharkan di Tanah Melayu pada Jun 1948. Antara kandungannya ialah undang-undang yang dikuatkuasakan, strategi dan corak serangan pengganas komunis, siri keganasan yang dilakukan, langkah kerajaan untuk membendungnya, bilangan yang terkorban, pelaksanaan Rancangan Briggs berkaitan penempatan semula penduduk serta propaganda dan kempen perang saraf yang dijalankan. Terbitan ini juga menyenaraikan kronologi penting dari Jun 1948 – Disember 1950.

Pilihan raya pertama Persekutuan Tanah Melayu diadakan pada 27 Julai 1955. Sebanyak 52 kerusi bagi seluruh Tanah Melayu telah dipertandingkan. Parti UMNO, MCA dan MIC mewakili tiga kaum terbesar di Tanah Melayu bergabung dan bertanding atas nama Parti Perikatan. Parti ini menggunakan moto ‘Menuju Ke Arah Kemerdekaan’ dan telah memenangi 51 kerusi. Baki satu kerusi telah dimenangi oleh PAS di kawasan Kerian, Perak.

No comments: